Yayasan Petronas Hulur Sumbangan Bernilai RM2.5 juta Kepada Sabah



KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM2.5 juta kepada Jabatan Kesihatan Sabah bagi membantu barisan hadapan mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Sumbangan terbabit yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan awam di seluruh negeri diserahkan secara rasmi kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, semalam.

Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman yang mewakili Yayasan PETRONAS dalam kenyataannya, berkata sebahagian daripada sumbangan terbabit sudah dihantar ke hospital dan klinik yang memerlukan sejak minggu lalu.

Katanya, ia termasuk 10 unit penapis udara pernafasan, dua unit pelembab udara berpusat dan lima unit skrin paparan tanda vital.

Peralatan terbabit katanya diagihkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent, Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Keningau dan Hospital Lahad Datu.

"Peralatan perubatan terbabit akan digunakan di unit kecemasan dan trauma, unit rawatan rapi dan wad rawatan rapi paediatrik.

"Sebagai tambahan, sebanyak 1,000 jumpsuits dan 600,000 sarung tangan nitrile juga akan diagihkan ke hospital dan klinik awam melalui Jabatan Kesihatan Sabah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, menyifatkan sumbangan Yayasan PETRONAS itu bertepatan dengan usaha untuk melengkapkan hospital dan barisan hadapan dengan peralatan sesuai untuk mengurus kes COVID-19.

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments

Daftar Email Untuk Dapatkan Update Info Jawatan Kosong Terkini.

Get all latest content delivered straight to your inbox.