Pengeluaran KWSP: Najib Razak Gesa KWSP Untuk Perluaskan Pengeluaran Akaun 1 Kepada Golongan Yang Sangat Memerlukan


i-Sinar KWSP

PETALING JAYA: Najib Razak menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan pengeluaran dari Akaun 1 kepada golongan yang berdepan pemotongan gaji akibat pandemik Covid-19.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau pada awalnya menganggarkan 4.7 juta ahli akan mendapat manfaat daripada skim i-Sinar, dengan jumlah pengeluaran mencecah RM47 bilion.

Namun, beliau mendapati KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli akan membuat pengeluaran berjumlah RM14 bilion kerana syarat kelayakan mengehadkan mereka yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan lain.

“KWSP perlu faham bahawa kita tidak boleh sasar kepada mereka yang hilang kerja saja, tetapi golongan paling besar ialah mereka yang pendapatan bulanan berkurang akibat gaji dipotong, elaun dipotong, komisen berkurang serta jumlah hari bekerja atau OT dipotong.

“KWSP tidak boleh terlalu bersyarat sebab kita tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim i-Die bagi golongan yang tidak layak hanya sebab mereka tidak hilang kerja, walaupun sudah amat terdesak setelah pendapatan mereka turun akibat Covid,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Beliau menggesa KWSP membuka skim i-Sinar kepada mereka yang berdepan pengurangan pendapatan sebanyak 20% atau lebih akibat pandemik.

Beliau mengingatkan kegagalan berbuat demikian mungkin menyebabkan ramai yang sengaja berhenti kerja atau dibuang kerja untuk memenuhi kelayakan memohon skim i-Sinar.

KWSP mengumumkan i-Sinar ialah lanjutan daripada kemudahan pengeluaran i-Lestari yang kini mencapai anggaran pengeluaran RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.

Permohonan untuk i-Sinar, yang membenarkan pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan, boleh dibuat mulai Disember ini dan wang akan dikreditkan ke akaun bank ahli bermula Januari 2021.

KWSP dijangka mengumumkan butiran skim itu esok.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments

Daftar Email Untuk Dapatkan Update Info Jawatan Kosong Terkini.

Get all latest content delivered straight to your inbox.