AmBank Group Setuju Lanjutkan Program Bantuan Pembayaran Bersasar Sehingga 30 Jun 2021


KUALA LUMPUR: AmBank Group akan melanjutkan program bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021 bagi terus memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang terjejas disebabkan penularan COVID-19.

Langkah pemanjangan tempoh program itu bertujuan membantu pelanggannya yang terjejas disebabkan kehilangan pekerjaan atau menghadapi pengurangan pendapatan bulanan.

Sejak pelaksanaan moratorium pada Mac lalu, AmBank telah menghubungi pelanggan pinjaman dan pembiayaannya melalui sistem pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon, e-mel, pengumuman di laman web dan juga platform media sosial.

Malah, terdapat cawangan AmBank yang terpilih telah dibuka untuk membantu pelanggan yang menghadapi masalah kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia dalam membantu pelanggan yang terjejas disebabkan pandemik ini.

Justeru, beliau berkata, Ambank terus menyediakan pelan penjadualan dan penyusunan semula yang disesuaikan untuk memenuhi komitmen kewangan pelanggan.

Katanya, sehingga kini, Ambank sudah menghubungi lebih daripada 500,000 pelanggan untuk menawarkan bantuan pembayaran balik.

"Sehingga pertengahan Oktober lalu, bank telah memproses lebih daripada 60,000 permohonan dari individu dan PKS dengan kelulusan hampir 100 peratus.

"Kami gembira dapat memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan kemudahan berjumlah lebih daripada RM11 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Sulaiman berkata, Ambank akan terus berhubung dengan pelanggan yang masih belum mengemukakan permohonan mereka, terutama yang terbabit dalam industri menerima impak tinggi daripada COVID-19.

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments

Daftar Email Untuk Dapatkan Update Info Jawatan Kosong Terkini.

Get all latest content delivered straight to your inbox.