Harga Kereta Perodua Turun Sebanyak 3%-6% Bermula 15 Jun 2020 - MyKerjaya!

Breaking

Join Telegram Rasmi Kami

Daftar Email Untuk Dapatkan Update Info Jawatan Kosong Terkini.

June 10, 2020

Harga Kereta Perodua Turun Sebanyak 3%-6% Bermula 15 Jun 2020


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjadi syarikat automotif pertama menurunkan harga semua model keluarannya antara tiga hingga enam peratus berkuatkuasa hari ini.

Peneraju pasaran automotif tempatan dalam satu kenyataan berkata, pengurangan harga itu bagaimanapun dipecahkan dua slot iaitu bermula hari ini hingga 14 Jun membabitkan pemberian rebat tunai untuk mengurangkan harga sebelum harga rendah berkenaan dikekalkan sepanjang tempoh pengurangan cukai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata senarai harga baharu semua modelnya selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian cukai jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

"Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, PERODUA akan memberikan rebat tunai antara tiga hingga enam peratus bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.

"Kami ingin mahu orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan. Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui jumlah rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15 Jun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza menyaksikan penurunan dari RM723 hingga RM4,674.

Mengikut senarai harga yang di bilik pameran PERODUA, model Axia mengalami penurunan harga dari RM723 hingga RM1,763, manakala Bezza pula turun dari RM1,124 hingga RM1,624 mengikut varian.

Bagi model paling laris PERODUA, Myvi harga baharu selepas pengecualian cukai turun dari RM1,498 hingga RM1,893.

Untuk model kenderaan pelbagai guna kompak (MPV), Alza, ia dijual pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu jimat dari RM1,546 hingga RM2,165, manakala model kenderaan utiliti sukan (SUV) Aruz pula kurang dari RM4,374 hingga RM4,674.
Zainal Abidin berkata, PERODUA menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik.

"Rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja ekoran COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa yang sukar ini.

"Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif, bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar.

"Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu," katanya.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41 peratus pasaran berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini.
Dengan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, PERODUA telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lalu untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

"Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami ingin menyatakan semula komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu industri menempuhi fasa yang sukar ini," tambah Zainal Abidin.

Sementara itu, beberapa syarikat automotif lain termasuk Proton Holdings Bhd (PROTON); Sime Darby Auto Hyundai (SDAH); Mitsubishi Motors Malaysia (MMM); TC Euro Cars (TCEC); Honda Malaysia; dan UMW Toyota Motor akan mengumumkan senarai harga baharu kenderaan keluaran masing-masing dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya awal minggu depan.

Berikut merupakan senarai harga baharu PERODUA mengikut varian sehingga 31 Disember 2020:

Axia
* 1.0 E (MT) - RM23,367 (turun RM723)
* 1.0 G (AT) - RM32,485 (turun RM1,005)
* 1.0 GXTra (AT) - RM33,940 (turun RM1,050)
* 1.0 Style (AT) - RM37,515 (turun RM1,375)
* 1.0 SE (AT) - RM37,515 (turun RM1,375)
* 1.0 Advance (AT) - RM41,427 (turun RM1,763)
Bezza
* 1.0 G (MT) - RM33,456 (turun RM1,124)
* 1.0 G (AT) - RM35,391 (turun RM1,189)
* 1.3 X (AT) - RM42,551 (turun RM1,429)
* 1.3 Advance (AT) - RM48,356 (turun RM1,624)
Myvi
* 1.3 G (MT) - RM41,292 (turun RM1,498)
* 1.3 G (AT) - RM43,029 (turun RM1,561)
* 1.3 Premium X (AT) - RM44,959 (turun RM1,631)
* 1.5 High (AT) - RM48,530 (turun RM1,760)
* 1.5 Advance (AT) - RM52,197 (turun RM1,893)
Alza
* 1.5 S (MT) - RM49,944 (turun RM1,546)
* 1.5 S (AT) - RM52,661 (turun RM1,629)
* 1.5 SE (AT) - RM55,186 (turun RM1,704)
* 1.5 Advance (AT) - RM60,525 (turun RM2,165)
Aruz
* 1.5 X (AT) - RM68,526 (turun RM4,374)
* 1.5 Advance (AT) - RM73,226 (turun RM4,674)

No comments:

Post a Comment

Join Channel Telegram Graduan Semasa