Pembayaran Pengeluaran i-Lestari Sehingga 18 Mei 2020 - MyKerjaya!

Breaking

Join Telegram Rasmi Kami

Daftar Email Untuk Dapatkan Update Info Jawatan Kosong Terkini.

May 04, 2020

Pembayaran Pengeluaran i-Lestari Sehingga 18 Mei 2020



KUALA LUMPUR: Pembayaran pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) akan mula dikreditkan ke akaun ahli bermula hari ini hingga 18 Mei ini.


Ahli KWSP yang permohonan pengeluarannya diluluskan akan dimaklumkan mengenai pengkreditan itu menerusi laman sesawang i-Lestari sejurus bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata proses pengkreditan ke dalam akaun bank ahli mungkin mengambil masa satu hingga tiga hari daripada tarikh KWSP membuat pindahan.



"Tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank untuk membolehkan ahli membuat pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran bank masing-masing.

"Ahli perlu memastikan akaun bank mereka masih aktif dan tidak dibekukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak i-Lestari dilancarkan pada awal April lalu, KWSP sudah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan berjumlah RM1.66 bilion.

"KWSP mengadakan perbincangan mendalam dengan bank-bank rakan kongsi sepanjang bulan lalu bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.

"Kami kemudian bersetuju bahawa kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan.


"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal," katanya.

KWSP memahami keperluan mendesak ahli untuk menggunakan wang bagi melalui waktu mencabar ini walaupun khuatir Pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka.

"Kami berharap ahli sudah berfikir secara mendalam sebelum memutuskan jumlah yang akan dikeluarkan dari Akaun 2 mereka.

"Ini kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang utuh pada masa depan," katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Join Channel Telegram Graduan Semasa